Suspek Kes Bunuh Pesara Tentera Ditahan Polis - Semasa | mStar

Suspek Kes Bunuh Pesara Tentera Ditahan Polis

BACHOK: Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang pesara tentera di Masjid Kampung Pauh Sembilan di sini semalam ditahan polis hari ini.

Suspek yang berusia 43 tahun ditahan reman selama tujuh hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, suspek sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian kerana cedera parah di pergelangan tangan.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes itu yang disifatkan sebagai kes bunuh.

"Siasatan awal polis mendapati kedua-dua lelaki berkenaan telah bergaduh di dalam masjid yang puncanya belum diketahui," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa, Che Ismail Che Hussin, 55, meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat tikaman di bahagian kiri perut.

Mazlan berkata, mangsa dari Jalan Sabak, Pengkalan Chepa merupakan bekas tentera tetapi kini bekerja sebagai penarik kereta. Suspek juga tinggal di kampung yang sama, katanya.

Seorang penduduk kampung, Yaakob Mat berkata, suspek sedang berada di dalam masjid selepas sembahyang Zohor.

"Beberapa minit kemudian, tujuh orang termasuk mangsa sampai di masjid dengan beberapa buah kereta. Saya nampak dia yang bersenjatakan parang masuk ke dalam masjid sementara kawan-kawan dia menunggu di luar.

"Selepas beberapa minit kemudian, saya dengar bunyi bising dan nampak suspek lari keluar dengan tangannya berdarah," katanya.

Yaakob yang memerhati dari luar masjid berkata, mangsa yang cedera diusung oleh rakan-rakannya masuk ke dalam kereta dipercayai untuk dibawa ke hospital.

Bilal masjid tersebut, Mohamad Abdullah berkata, suspek menunaikan sembahyang Zohor berjemaah tetapi selepas sembahyang dia masih berada di dalam masjid seorang diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiga Cedera Akibat Paip Pecah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain