suria

Pendatang Tanpa Izin Tawar RM500 Untuk Lepaskan Diri

KUALA LUMPUR: Barangkali menyangka semua pihak penguatkuasa di negara ini mudah 'dibeli' seorang lelaki warga Bangladesh menawarkan wang tunai RM500 kepada seorang pegawai Imigresen agar membebaskannya ketika diperiksa dalam satu operasi di Batu 9, Cheras hari ini.

Namun ternyata tanggapannya salah apabila Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Mohd Azmi Mohd Isa bukan saja menolak tawaran itu tetapi turut menahannya selepas mendapati lelaki tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Saya nasihatkan dia agar memberi kerjasama kepada pegawai yang sedang melakukan pemeriksaan," katanya kepada pemberita selepas operasi di sebuah kilang kayu itu.

Warga Bangladesh itu adalah antara 29 warga asing yang ditahan pihaknya dalam operasi tersebut.

"Daripada 100 orang yang diperiksa, 26 orang tidak mempunyai dokumen yang sah. Mereka ini terdiri daripada 26 warga Bangladesh, dua dari Myanmar dan seorang dari India. Kesemuanya berumur dalam lingkungan 20an dan 50an," katanya.

Beliau berkata, serbuan yang melibatkan 80 anggota dan pegawai Imigresen itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan penduduk setempat berkenaan kehadiran ramai warga asing di kawasan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain