suria

Mahkamah Benarkan Saravanan Mengetepikan Permohonan Bekas Rakan Niaganya

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M.Saravanan hari ini berjaya mengetepikan permohonan bekas rakan niaganya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan saman fitnah yang melibatkan mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham membenarkan permohonan Saravanan untuk mengetepikan tindakan proseding pencabaran Datuk M. Pasupathy kerana ia terlalu awal kerana kes itu masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

"Mahkamah tidak dapat memutuskan atau melayan permohonan itu pada peringkat ini kerana Mahkamah Rayuan belum lagi memberikan penghukumannya mengenai perkara tersebut," kata beliau.

Pasupathy memohon untuk proseding pencabaran terhadap kenyataan pembelaannya yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan permohonan beliau bagi mengetepikan saman fitnah yang difailkan Saravanan terhadap Pasupathy.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mac, 2009, telah menolak permohonannya dan memerintahkan beliau membayar RM450,000 untuk ganti rugi kepada Saravanan.

Tidak puashati dengan keputusan itu, Pasupathy memfailkan rayuan tersebut di Mahkamah Rayuan dan keputusan mengenai rayuan berkenaan masih menunggu perbicaraan.

Pasupathy memfailkan proseding pencabaran itu atas alasan penghakiman dibuat dengan tidak mengumumkan perkara undang-undang yang menyebabkan salah laksana keadilan.

Dalam permohonan Saravanan untuk membatalkan proseding pencabaran, penghakiman itu dibuat dengan lebih teratur dan tidak boleh dicabar.

Pada 25 Februari 2008, Saravanan memulakan saman fitnah terhadap Pasupathy berikutan saman Pasupathy terhadap beliau, isterinya Datin V. Kavitha, 37, dan syarikat produk keselamatan jalan, RMW Manufacturing Sdn Bhd (RMW), di mana Pasupathy adalah pengarahnya, mengenai tuduhan melanggari kontrak.

Beliau berkata dakwaan yang dibuat peniaga itu, Pasupathy dalam samannya adalah tidak berasas dengan niat untuk mencemarkan imejnya.

Pasupathy dalam saman beliau terhadap Saravanan, Kavitha dan syarikat berkenaan menyatakan bahawa beliau mendapati saham syarikatnya telah dipindahkan kepada Kavitha, yang juga pengarah syarikat tersebut, tanpa pengetahuannya.

Peguam Lian Meng Wang mewakili Pasupathy dan M.Govindarajoo bagi Saravanan. - BERNAMA

Artikel Lain