suria

Sanggup Tinggal Isteri Mahu Lari Daripada Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup meninggalkan isterinya dan melarikan diri bagi mengelak ditahan polis kerana mengedar dadah tetapi usahanya gagal kerana berjaya juga ditangkap 15 minit kemudian.

Itulah yang berlaku pada 6 April lepas, apabila lelaki berusia 33 tahun itu meninggalkan isterinya yang dicekup polis kira-kira 4.45 petang di hadapan sebuah stesen minyak di Sri Petaling.

Melihatkan wanita berusia 28 tahun itu ditahan polis, suaminya bersama seorang rakan dalam kereta telah memecut meninggalkan isterinya yang ketika ditahan sedang memegang beg plastik mengandungi 500 pil eramin 5 seberat 140 gram dengan harga pasaran RM12,500.

Bertindak pantas daripada maklumat orang ramai, suami dan rakan lelaki berumur 36 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis di persimpangan jalan keluar ke Lebuhraya KESAS, kira-kira 15 minit kemudian.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pemeriksaan yang dilakukan pada kereta suspek pula telah menemui satu bungkusan kertas yang mengandungi 200 biji eramin 5 dengan harga pasaran RM5,000.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek yang positif methaphatamin (syabu) ditahan reman sehingga 19 April ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 22 tahun ketika berada dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah blok di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama pada 8 April lepas kira-kira 8.30 malam dan menemui tiga paket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis heroin seberat tujuh gram bernilai kira-kira RM300.

Wan Abdul Bari berkata pemeriksaan ke atas suspek mendapati suspek positif kokain.

"Suspek yang tinggal di kawasan itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini lebih kurang enam bulan lalu terutama di kawasan Jalan Kuchai Lama," katanya.

Beliau berkata selang beberapa minit kemudian polis menahan seorang lagi warga tempatan dan menemui 20 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 47.5 gram di dalam poket seluarnya.

Suspek berumur 20 tahun itu ditahan ketika sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan di salah sebuah blok di Taman Sri Sentosa kira-kira pukul 8.42 malam, katanya.

"Hasil soal siasat juga mendapati suspek turut menyimpan dadah dalam sebuah peti di motosikal yang lain dan merampas 12 paket dadah jenis heroin dan 11 peket ganja," katanya.

Wan Abdul Bari berkata hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah.

Beliau juga berkata kedua-dua suspek itu tidak mempunyai kaitan atau terlibat dalam kumpulan pengedaran yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain