suria

Pemimpin Datang Dan Pergi, Agenda MCA Tetap Diteruskan - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Pemimpin datang dan pergi namun perjuangan dan agenda parti MCA akan tetap diteruskan, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya keputusan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan tidak akan membawa kesan kepada MCA dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara ahli-ahli parti.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sumbangan Chew kepada parti, Dr Chua menegaskan dalam sebuah parti demokrasi, pemimpin boleh silih berganti tetapi agenda parti perlu diteruskan.

Dr Chua berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong di Wisma MCA di sini hari ini.

Dr Chua memenangi jawatan presiden selepas mengalahkan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting pada pemilihan baru 28 Mac lalu.

Sebelum ini, Chew membuat kenyataan umum jika Dr Chua menang jawatan presiden pada pemilihan itu, beliau akan melepaskan semua jawatannya.

Bagaimanapun, presiden baru itu tidak ragu-ragu apabila berkata bahawa beberapa pemimpin yang mengutamakan diri daripada perjuangan parti tidak akan mencapai kecemerlangan.

"Pandangan peribadi tak perlu dijadikan isu. Mereka kata Wee mungkin bukan penyokong saya, tapi dalam soal menyelesaikan masalah, kita ada matlamat yang sama. Itu yang lebih penting, matlmat dan perjuangan parti perlu diteruskan.

"Tapi kalau ada pandangan yang berlainan dan tidak dapat bekerjasama, maka saya berpendapat pemimpin itu tidak akan mencapai kejayaan yang cemerlang," jelasnya.

Selain Chew, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong, juga mengumumkan akan mengambil cuti setahun daripada urusan parti.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, Dr Chua mengucapkan Dr Leong selamat maju jaya.

Beliau menolak ura-ura bahawa perkembangan terbaru itu sebagai tanda protes kepada kepimpinannya yang mungkin mencetuskan satu lagi episod perebutan kuasa dalaman parti.

"MCA ada satu juta ahli. Satu dua orang letak jawatan, saya yakin barisan kepimpinan yang dipilih tahu tanggungjawab mereka ialah untuk meneruskan perjuangan parti, satu padukan parti, stabilkan parti dan kukuhkan organisasi parti untuk pilihan raya umun akan datang.

"Kalau ada pemimpin yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan, maka saya dan barisan kepimpinan baru tidak dapat buat apa-apa pun," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru pembinaan tujuh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan pemindahan 13 sekolah lain, Dr Chua dua daripada sekolah berkenaan telah disiapkan manakala isu tanah bagi 10 sekolah lain sudah diselesaikan dan kerja-kerja pembinaan akan bermula tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, lapan daripada keseluruhan sekolah dalam rancangan itu masih menghadapi masalah mendapatkan tanah khususnya di negeri-negeri yang yang tidak diperintah Barisan Nasional (BN) termasuk lima buah sekolah di Selangor.

Katanya jawatankuasa itu akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, bulan ini bagi mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan masalah tanah berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain