suria

Suruhanjaya Bebas Ditubuh Kuatkuasa Monopoli Perniagaan

PETALING JAYA: Suruhanjaya bebas akan ditubuhkan bagi menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan terhadap kuasa monopoli dan pakatan syarikat besar dalam menentukan harga barangan apabila Akta Persaingan 2010 diluluskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, suruhanjaya itu akan dianggotai oleh kalangan daripada bidang ekonomi yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kepakaran menilai sebarang aduan yang dilaporkan oleh orang ramai mengenai kuasa monopoli dan pakatan syarikat besar.

"Suruhanjaya bebas itu memantau kes-kes melibatkan monopoli dan pakatan syarikat besar yang akan ditubuhkan selepas Dewan Rakyat meluluskan dan mewartakannya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) ke-14 di sini hari ini.

Majlis itu meraikan seramai 48 graduan MKM dengan seorang dianugerahkan Sarjana Pengurusan Koperasi dan Pembangunan Organisasi dari University of Leicester, United Kingdom, 35 graduan Diploma Pengurusan Koperasi dan 12 graduan Sijil Pengurusan Koperasi.

Beliau berkata, kewujudan suruhanjaya itu akan menjadi satu langkah penting dalam mewujudkan suasana perniagaan yang mesra pengguna bagi menyekat kuasa monopoli dan pakatan syarikat besar yang boleh membebankan pengguna.

"Kita mahu menyekat kuasa monopoli oleh satu peniagaan dalam menentukan harga dan bekalan kerana suasana perniagaan pun tidak mesra sebab dimonopoli oleh golongan tertentu.

"Selepas akta ini diluluskan kita tidak akan membenarkan lagi sesuatu syarikat besar berpakat menentukan harga dan bekalan yang mana boleh merugikan pengguna," katanya.

Ismail Sabri berkata, persaingan sihat perlu diwujudkan kerana perang harga antara sesuatu perniagaan dengan lain boleh menguntungkan pengguna dalam mendapatkan barangan yang murah dan berpatutan.

Semalam, Ismail Sabri telah membentang Rang Undang-Undang Persaingan 2010 yang antara lain bermatlamat menggalakkan pembangunan ekonomi dengan melindungi proses persaingan, dan dengan itu melindungi kepentingan pengguna.

"Rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin dan Selasa depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berhasrat menambah bilangan pelajar MKM sekurang-kurangnya kepada 150 setahun berbanding sekarang kira-kira 50 orang bagi menyediakan golongan pelapis mentadbir koperasi dalam menyumbang ke arah kemajuan koperasi.

Bagi melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang pengurusan koperasi, katanya pelajar MKM dibiayai dalam bentuk pinjaman dan mereka yang berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 ke atas tidak perlu membayar pinjaman itu selepas ditukarkan kepada skim biasiswa mulai tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain