suria

Isu Gugat Keharmonian Antara Agama Perlu Dibincang

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersedia untuk membincangkan isu-isu yang kini menggugat persefahaman dan keharmonian antara agama, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas untuk mempromosikan persefahaman dan keharmonian agama, Datuk Ilani Isahak.

Bagaimanapun beliau berkata, perbincangan itu perlu dilakukan mengikut dasar saling menghormati.

"Kita perlu realistik bahawa proses ini bukannya perkara yang mudah. Seperti semua perbincangan yang melibatkan hal ehwal agama, akan wujud perbezaan pendapat, ada yang agak fundamental.

"Tetapi, kami perlu mencari tapak permulaan dan saya bersyukur dan berdoa dengan adanya ahli-ahli khusus dalam jawatankuasa ini, kami akan dapat mencari jalan penyelesaian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Perhubungan Awam, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, sempena mesyuarat rasmi pertama jawatankuasa itu semalam.

Mesyuarat yang diadakan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan itu dihadiri anggota jawatankuasannya termasuk Ketua-ketua Pengarah JPNIN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), selain wakil-wakil dari Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), Jawatankuasa Gabungan Penyelarasan untuk Pertubuhan BUkan Kerajaan Islam (ACCIN) serta pakar, sarjana dan wakil dari Sabah dan Sarawak.

Ilani, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, dilantik oleh Jemaah Menteri sebagai Penyelaras Khas bagi persefahaman dan keharmonian antara agama pada Januari tahun ini.

Beliau berkata, anggota jawatankuasa itu bukan sahaja mencari penyelesaian terhadap pengurusan masalah dan polariti tetapi mereka juga ingin menjalinkan persefahaman, persahabatan dan perpaduan yang akan dapat menyahut cabaran-cabaran yang timbul memandangkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

"Ini adalah satu permulaan yang baik dan jitu, dan secara langsung menunjukkan kematangan masyarakat Malaysia," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan sentiasa mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa dan jawatankuasa kerja kecil pula akan meneliti isu-isu spesifik yang dikenal pasti.

Sementara itu, Presiden MCCBCHST, Reverend Dr Thomas Philips berkata, beliau menghargai mekanisme sedemikian untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu agama dan sekaligus memupuk persefahaman dan keharmonian antara agama secara lebih kukuh lagi.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berharap bahawa forum itu akan menzahirkan persefahaman dan keharmonian agama yang lebih kukuh.

Kenyataan itu menambah bahawa semua pandangan dan cadangan jawatankuasa berkenaan akan diutarakan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. - BERNAMA

Artikel Lain