suria

Siasatan Pilatus Terhempas Siap Dalam Tempoh Sebulan - TUDM

SUBANG: Siasatan berhubung kejadian pesawat Pilatus PC-7 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Sintok, Kedah semalam dan mengorbankan juruterbangnya dijangka siap selewat-lewatnya sebulan lagi.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata lembaga siasatan yang diketuai Inspektorat Jeneral, Kolonel Law Ing Hiong telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden.

"Kes perlu disiasat dari setiap sudut secara terperinci untuk mengetahui sama ada pesawat terhempas disebabkan oleh masalah teknikal atau atas sebab-sebab lain," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sebuah pesawat 130H di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Rodzali berkata kotak hitam pesawat akan dihantar ke Switzerland dalam tempoh terdekat bagi diteliti.

"Jika terdapat keperluan, kotak hitam tersebut akan diserah oleh pakar Switzerland kepada pakar Amerika Syarikat untuk mendapatkan analisa siasatan yang lebih tepat," katanya.

Pilatus PC-7 merupakan keluaran syarikat Pilatus Aircraft dari Switzerland. Ia merupakan pesawat latihan yang mempunyai dua tempat duduk.

Pesawat TUDM tersebut yang dipandu Mejar Muhammad Zulrihan Jusof, 39, terhempas di kawasan hutan simpan berhampiran Universiti Utara Malaysia.

Rodzali berkata pesawat terbabit sedang menjalani sesi latihan penerbangan sebelum nahas berlaku.

Beliau berkata TUDM kini memiliki 16 pesawat Pilatus sementara dua buah telah terlibat dalam kemalangan udara sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain