Pemandu Teksi Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan - Semasa | mStar

Pemandu Teksi Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan

GUA MUSANG: Seorang pemandu teksi maut manakala tiga penumpangnya cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan treler di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini.

Mat Nasir Daud, 65, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh Satu, Gua Musang mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Tiga penumpang teksi yang cedera ialah Jamilah Yusoff, 42, Sharifah Ismail, 35, dan Saadah Ab Rahman, 34. Kesemua mereka dihantar ke Pusat Kesihatan Besar Bandar Ciku.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian pada pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika teksi berkenaan dalam perjalanan menghantar penumpang itu yang bekerja di kilang papan di kawasan perindustrian Gua Musang.

"Treler yang datang dari Gua Musang ke Kuala Krai dikatakan cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan teksi itu," katanya. Pemandu treler Zamani Ibrahim, 53, tidak cedera.

Saiful Bahri berkata, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain