Tidak Pernah Terfikir Untuk Berhenti - Tee Keat - Semasa | mStar

Tidak Pernah Terfikir Untuk Berhenti - Tee Keat

KOTA KINABALU: "Tidak pernah sekalipun terlintas di fikiran saya untuk berhenti," kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau memberikan jawapan itu sebagai respons ketika ditanya kemungkinan beliau dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting mencapai persetujuan bahawa salah seorang daripada mereka menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi parti pada pemiliah 28 Mac ini.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Ka Ting dalam satu temubual di televisyen malam tadi yang tidak menolak kemungkinan seperti itu akan berlaku sebelum penamaan calon Isnin ini, Tee Keat bagaimanapun berkata, beliau menghargai apa jua bentuk usaha dalam menyelesaikan krisis parti.

"Saya tidak tahu apa yang dikatakannya, pada masa itu saya tidak menonton tv, cukup untuk saya katakan, saya hargai sebarang usaha untuk menyelesaikan krisis parti.

"Tapi, setakat ini, pada pemahaman saya dan juga untuk pengetahuan anda, setakat yang saya tahu, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berhenti dan setakat ini tiada sesiapapun yang berjumpa saya untuk apa-apapun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan perwakilan MCA dari bahagian pantai barat Sabah di sini, semalam.

Berhubung dakwaan Ka Ting bahawa MCA masih sebuah parti yang terancang dan bersatu apabila beliau bersara pada 2008, Tee Keat berkata, masalah itu diwarisi apabila beliau mengambil alih jawatan presiden.

"Beliau (Ka Ting) boleh membuat sebarang dakwaan tapi kenyataannya ialah kes disiplin membabitkan Datuk Dr Chua Soi Lek, sebenarnya merupakan legasi yang saya warisi kerana kes itu sepatutnya diselesaikan semasa tempoh perkhidmatannya dan sudah tentu saya tidak ada pilihan tetapi perlu menanganinya mengikut peraturan.

"Sudah tentu, kekalahan teruk pada pilihan raya umum 2008..ketika itu ramai orang termasuk calon dan saya sendiri berasa terdapat isu seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang merupakan bom jangka, di mana kita gagal tanganinya di kemuncak pilihan raya..Ka Ting masih presiden pada masa itu," katanya.

Tee Keat berkata, beliau menyebut perkara ini tanpa sebarang niat untuk menyindir atau membabitkan seseorang tetapi semata-mata untuk menyatakan fakta dan rekod.

Sementara itu, dalam pertemuannya dengan pemimpin dan anggota MCA Sabah di Tawau malam tadi dan di sini hari ini, beliau mengingatkan anggota parti itu supaya terus mendekati masyarakat setempat.

"Walaupun tengah hangat kempen pemilihan parti yang dijadualkan 28 Mac ini, tapi saya juga menyarankan rakan-rakan seperjuangan saya bila kita turun padang berkempen pun tidaklah terhad saja tumpuan kepada hal ehwal parti.

"Yang lebih penting bila kita menegaskan perlunya transformasi parti, kenalah kita senada senafas dengan masyarakat setempat ... supaya dapat mengetengahkan isu-isu atau permasalahan utama yang dihadapi rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain