suria

Wanita Ditahan Disyaki Dera Anak Angkat

LAHAD DATU: Seorang wanita berumur 55 tahun di sini ditahan kerana disyaki mendera anak angkat perempuannya yang berumur tujuh tahun di Kampung Teduh, Felda Sahabat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata suspek ditahan lima hari lalu dan sejak itu direman hingga ke hari ini selepas polis menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan berhubung penderaan kanak-kanak yang dikenali sebagai Fansharina Abdullah.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa mengalami lebam-lebam di seluruh badan dipercayai dipukul menggunakan payung dan kayu keras serta diikat kedua belah kaki dan tangannya sebelum dikurung dalam tandas.

Kanak-kanak yang kini masih dirawat di hospital Lahad Datu dan kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana melibatkan penderaan kanak-kanak sementara siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 17 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Siasatan awal juga mendapati ibu kandung kanak-kanak berkenaan berasal dari Ranau dan tidak mempunyai pertalian darah dengan suspek yang dikatakan menjaga kanak-kanak berkenaan sejak mangsa berumur satu tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan keluarga ibu kandung mangsa agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau terus hubungi talian 089-881255 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain