suria

Penyeludup Tidak Sempat Matikan Enjin Kenderaan

PADANG BESAR: Seorang lelaki yang panik kerana ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kampung Titi Tinggi dekat sini hari ini, tidak sempat mematikan enjin van yang dipandunya sebelum melarikan diri.

Berikutan itu, UPP yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena, telah menyiasat van berkenaan dan menemui tangki minyak tambahan yang dipercayai digunakan bagi menyeludup petrol, kata Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman.

"Tangki yang boleh mengisi 1,000 liter petrol itu diletakkan di bahagian tempat duduk belakang hingga ke bahagian muatan barang. Minyak petrol itu dianggarkan bernilai RM1,800 dan kos membina tangki tambahan itu dianggarkan bernilai RM1,000," katanya.

Zakaria berkata kejadian itu berlaku pukul 10.30 pagi apabila sepasukan UPP yang mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan di kampung itu dan telah menahan kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun lelaki itu terus memandu dan memberhentikan kenderaannya di halaman sebuah rumah berdekatan tanpa mematikan enjin sebelum menghilangkan diri.

Kenderaan dan petrol itu telah disita dan kes telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain