suria

Ribuan Ketul Hempedu Dan Kulit Ular Sawa Dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26,196 ketul hempedu dan lebih 35,000 keping kulit ular sawa serta tiga ekor tenggiling dirampas di dua premis berasingan di Kedah dan Perak minggu lepas.

"Setiap hempedu mewakili setiap ekor ular dan ini merupakan rampasan terbesar setakat ini," kata Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan, Saharudin Anan di sini hari ini.

Beliau berkata hempedu tersebut yang dipercayai untuk dieksport dirampas di sebuah premis perniagaan haiwan di Kulim, Kedah Selasa lalu.

Katanya Perhilitan akan akan membuat ujian DNA bagi mengenal pasti sama ada organ ular sawa tersebut adalah dari spesies tempatan atau luar negara.

"Kita turut meragui dari mana organ ular sawa itu diperolehi. Pemilik premis berkenaan iaitu seorang lelaki berumur 40 tahun bagaimanapun dibebaskan setelah diambil keterangan daripadanya," katanya kepada pemberita.

Difahamkan hempedu tersebut boleh mencecah harga antara RM500 hingga RM800 sekilogram.

"Hempedu ini sering digunakan untuk merawat sakit-sakit badan termasuk demam," kata Saharudin.

Beliau berkata turut ditemui di premis tersebut ialah lebih daripada 35,000 keping kulit ular sawa.

Kulit ular itu pula boleh mencecah nilai sehingga RM80 sekeping bergantung kepada saiz badan ular sawa berkenaan, yang kulitnya kerap digunakan untuk membuat tali jam dan kasut.

Saharudin berkata tiga ekor tenggiling pula dirampas di sebuah rumah di Teluk Intan, Perak Rabu lalu.

Dua orang lelaki dan seorang wanita, berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun ditahan kerana memiliki binatang perlidungan tersebut.

"Selain tenggiling, pihak kami turut menemui sekeping sisik tenggiling dalam serbuan 10 malam itu," katanya.

Beliau berkata tenggiling itu dijangka dijual untuk pasaran tempatan bagi digunakan dalam masakan.

Katanya kedua-dua kes di Kedah dan Perak itu disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. - BERNAMA

Artikel Lain