suria

Tukang Jahit Dakwa Ditipu RM100,000

KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit kerugian RM100,000 setelah didakwa ditipu oleh seorang lelaki yang dipercayai dapat membantunya mempermudahkan urusan pembelian tanah dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tiga tahun lepas di sini.

Mangsa, Lim Boey, 57 berkata, suspek seorang lelaki yang berusia 40an itu dikenali melalui seorang rakannya yang dikatakan pernah menjadi orang tengah mendapatkan bantuan serupa daripada suspek berkenaan.

Lim mendakwa, beliau telah membuat pembayaran bagi urusan pembelian tanah, pertukaran status tanah daripada persendirian kepada komersial serta cukai-cukai lain.

"Saya telah membayar secara tunai sebanyak RM15,000 dan cek sebanyak RM85,000 secara beransur-ansur sepanjang tahun 2005 dan 2006 bagi mendapatkan hak milik tanah yang terletak di belakang rumah saya.

"Bayaran juga bagi mendapatkan status tanah jenis komersial bagi membuka premis perniagaan jahitan tapi sampai sekarang tidak dapat apa-apa jawapan," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan MCA di sini hari ini.

Katanya, mengikut perjanjian awal, kos bagi pembelian tanah hanya kira-kira RM20,000 hingga RM30,000 sahaja tetapi lelaki terbabit telah meminta bayaran yang lebih tinggi dengan mendakwa pembayaran bagi urusan pertukaran status tanah mahal dan terdapat juga cukai-cukai lain yang perlu dijelaskan.

Lim berkata, lelaki itu juga mendakwa akan memulangkan semula kesemua wang sekiranya segala urusan tidak dapat diproses.

"Dia janji dalam masa satu atau dua tahun saya boleh dapat tanah tersebut dan dapat membuka kedai di situ tetapi sampai sekarang lelaki itu gagal dihubungi," katanya.

Lim telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada November tahun lepas dan kemudian mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA untuk khidmat nasihat dan kaunseling.

Wakil biro itu, Chan Kim Leong yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, memberitahu pemberita mengenai kehilangan seorang wanita yang menghidap penyakit mental dari rumahnya pada 21 Februari lepas.

Chai Mek Koon, 46, dilaporkan pernah hilang sebelum ini dan ini merupakan kali ketiga kehilangannya.

Suami mangsa, Tam Chew Hwa, 51, seorang pelukis patung membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya pada 27 Februari lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain