suria

Mekanik Didakwa Sebabkan Kematian Kanak-Kanak

MELAKA: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun pada September lepas.

Sha'ari Sabri, 30, dari Kampung Batu Hampar, Peringgit di sini, dituduh menyebabkan kematian Muhammad Aidil, 2, anak kepada teman wanitanya, di sebuah rumah di kampung yang sama antara pukul 4 petang dan 4.30 petang pada 13 September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Sha'ari yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Zaharah Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April ini bagi sebutan kes itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain