Tiga Beradik Rentung Dalam Kebakaran Di Bukit Mertajam - Semasa | mStar

Tiga Beradik Rentung Dalam Kebakaran Di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Tiga beradik rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka dan empat rumah lain di Kampung Kecil, Jalan Betek di sini awal pagi ini.

Mayat kanak-kanak perempuan Ooi Koay Eng, 12, serta adik perempuannya Ooi Koay Syaek, 11, dan adik lelakinya Ooi Koay Peng Teng, 9 ditemui berhampiran antara satu sama lain.

Kebakaran pada pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keow Kuang itu sedang tidur dalam bilik di tingkat atas rumah mereka.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Wan Azmi Ahmad berkata lima lagi adik beradik kanak-kanak malang itu serta ibu dan bapa mereka cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

"Kebakaran itu membabitkan lima rumah kampung yang terletak agak rapat," katanya.

Beliau berkata seramai 17 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Bandar Perda dan Balai Bomba Bukit Mertajam mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel