suria

Tee Keat Berharap Pemilihan Akan Berjalan Dengan Baik dan Adil

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berharap bahawa pemilihan baru MCA yang akan datang akan dijalankan secara adil dan wajar.

Dalam tulisannya dalam blognya hari ini dalam responsnya kepada peletakan jawatan secara tiba-tiba 21 anggota jawatankuasa pusat MCA yang dipilih bagi memberi laluan kepada pemilihan baru dalam tempoh 30 hari seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti, beliau berkata para penyokongnya telah lama menjangkakan perkembangan ini.

"Sekarang pemilihan baru parti telahpun digerakkan, tiba masanya bagi kita untuk memastikan bahawa pemilihan itu dijalankan dengan adil dan baik dan selaras dengan proses yang sepatutnya," katanya.

Ong berkata beliau merupakan orang pertama yang mahukan pemilihan baru diadakan pada 15 Oktober tahun lepas tetapi ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

"Pada masa itu, saya telah berkata bahawa kita perlu ingat dengan tempoh masa pemilihan itu dengan memberi keutamaan kepada parti. Satu pemilihan yang baru merupakan satu daripada pilihan kepada penyelesaian yang demokratik kepada masalah MCA," katanya.

Ong berkata beliau akan menemui penyokongnya dan mengumumkan satu keputusan tidak lama lagi.

MCA, parti politik Cina terbesar, mengadakan pemilihannya yang terakhir pada Oktober 2008. Ong telah dipilih sebagai presiden yang baru.

Pada 10 Oktober tahun lepas, dengan kekurangan 14 undi, 1,555 perwakilan memutuskan untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong manakala 1,141 menentang usul itu.

Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan jawatan selepas itu memandangkan Artikel 35 perlembagaan MCA menetapkan bahawa majoriti dua pertiga diperlukan dalam perhimpunan agung untuk menggugurkan mana-mana pegawai parti. Ong kemudian berkata bahawa beliau terus bertahan selepas mendapat sokongan yang menggalakkan daripada anggota parti melalui SMS dan e-mel yang bertegas mengenai perlunya untuk mematuhi Artikel 35 parti.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain