suria

Kemiskinan Dan Perpecahan Musuh Utama Parti - Ketua Pemuda PBB

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)Fadillah Yusof hari ini berkata musuh utama parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kemiskinan bukannya parti pembangkang.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata justeru agenda utama PBB untuk meningkatkan taraf hidup rakyat agar mencapai ekonomi berpendapatan tinggi harus dilaksana sebaik mungkin.

"Pembangkang tidak ada isu untuk diperdepatkan lagi jika kita berjaya membawa keluar rakyat daripada kemiskinan dan kedaifan kerana inilah perjuangan sebenar parti kita," katanya ketika berucap pada perhimpunan pergerakan Pemuda dan Wanita PBB di sini, yang dirasmikan Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Fadillah seterusnya menggesa angkatan Pemuda PBB agar bersama-sama melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berkemahiran bagi membawa keluar rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Beliau juga menyeru agar anggota parti itu khususnya Pemuda kekal bersatu dan mencontohi semangat kepimpinan lama yang tidak pernah jemu untuk menaikan status dan martabat parti.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita, Senator Datuk Seri Empiang Jabu berkata pergerakan itu mahu pucuk kepimpinan Sarawak meletakkan dasar 30 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan sebagai satu pelan tindakan yang diberi keutamaan.

"Kerajaan memerlukan gandingan wanita dan lelaki sebagai pemimpin di mana ada beberapa perkara memerlukan sifat keibuan dan sentuhan wanita. Dengan itu, kita berharap agar sesiapa saja yang berkenaan dan mempunyai kuasa untuk melantik golongan wanita dalam memegang jawatan di peringkat membuat keputusan.

"Takkanlah tiada golongan wanita di Sarawak ini yang tidak layak menyandang jawatan di peringkat membuat keputusan ataupun memegang jawatan tinggi dan menjadi pemimpin dalam apa jua bidang," katanya berucap pada perhimpunan itu di sini.

Perhimpunan Agung PBB ke-12 bermula hari ini sehingga 5 Mac. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain