suria

Menu Berkalori Untuk Pelatih PLKN Tidak Boleh Ditukar

BALIK PULAU: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara tidak dibenar menukar menu khas yang telah dibekalkan kerana ia disediakan mengikut keperluan kalori para pelatih.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata menu khas di bawah program Pemakanan Sihat PKLN itu telah disediakan mengikut keperluan kalori yang mencukupi untuk pelatih menjalani latihan di kem.

Katanya menu khas itu disediakan setelah kajian dilakukan selama setahun dan ia menepati piawaian Kementerian Kesihatan iaitu mengandungi antara 2,500 hingga 2,600 kalori.

"Jumlah kalori yang betul amat perlu bagi memastikan makanan dan minuman yang dibekalkan kepada pelatih bersesuaian dengan keperluan latihan fizikal yang terdapat di kem.

"Ini penting kerana kalori diperlukan peserta berbeza dengan remaja yang berada di luar kem," katanya kepada pemberita semasa melawat Kem White Resort di sini semalam.

Abdul Hadi berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bahawa wujud penukaran menu makanan yang disediakan di kem berkenaan sejak minggu lepas.

Katanya hasil siasatan, pihaknya mendapati bahawa menu makanan itu ditukar hasil perbincangan antara komandan kem dan pihak penguasaha makanan berdasarkan keperluan terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Beliau berkata walapun ia dibuat untuk kemudahan peserta, tetapi beliau telah mengarahkan supaya pihak kem mengikut menu asal yang telah ditetapkan.

"Setakat ini, aduan mengenai perkara ini hanya kita terima di Kem White Resort di Balik Pulau manakala kem yang lain masih mengikut menu khas yang ditetapkan.

"JLKN juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha makanan yang tidak mematuhi syarat tersebut demi memastikan keselesaan dan keselamatan pelatih sentiasa terjamin," katanya.

Mengenai masalah bekalan air yang dihadapi di Kem White Resort terutama pada waktu pagi seperti yang dilaporkan media, Abdul Hadi berkata ia berpunca akibat saiz paip yang kecil serta kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas.

"Kita sudah mengambil langkah segera dengan menukar paip yang sebelum ini bersaiz dua inci kepada empat inci bagi membolehlan aliran air lebih lancar," katanya dan menambah untuk jangka masa panjang pihaknya akan menukar paip kepada saiz enam inci.

Abdul Hadi juga berkata semua individu yang lahir pada tahun 1992 boleh mula menyemak nama mereka mulai 27 hingga 29 Mac depan bagi memastikan sama ada terpilih mengikuti siri kedua latihan PLKN 2010.

"Semakan boleh dilakukan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman web kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain