suria

Kementerian Akan Pastikan Regim IP Terkini

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini menyemak semula semua akta berkaitan harta intelek (IP), termasuk Akta Hak Cipta 1987.

Ia bagi memastikan regim IP Malaysia terkini dan semakan berkenaan dilaksanakan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Timbalan Menteri, Datuk Tan Lian Hoe berkata, bagi pindaan Akta Hak Cipta, kementerian juga akan menangani pelbagai isu berkaitan.

Beliau berkata, pindaan berkenaan merupakan usaha menyokong agenda inovasi negara termasuk pembangunan industri kreatif.

Ia juga termasuk mengimbangi dasar awam, hak penulis dan penghibur, kuasa tribunal hak cipta, isu berkaitan pembangunan internet dan teknologi serta pelbagai pengecualian dan had untuk tujuan persendirian dan pendidikan.

"Dalam meminda akta itu, pandangan pakar perundangan, ahli akademik, industri hak cipta dan mereka yang berkepentingan yang lain, diberi peluang memberi pendapat," katanya.

Beliau berkata, pindaaan Akta Hak Cipta 1987 dijangka dikemukakan pada mesyuarat Kabinet pada Mac.

Terdahulu, Tan merasmikan kursus susulan hak cipta dan hak berkaitan di sini.

"Industri kreatif, yang dipermudahkan oleh regim hak cipta, merupakan jentera kukuh untuk pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Jadi terdapat keperluan untuk mempunyai satu akta yang seiring dengan perubahan dalam persekitaran IP global," katanya.

Ketua Pengarah MYIPO, Kamel Mohamad berkata, industri kreatif dalam negara masih kukuh, meskipun dalam ketidaktentuan ekonomi berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan oleh firma tempatan dalam mendaftar IP mereka.

"Kita boleh melihat peningkatan kesedaran. Lebih banyak firma, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, menyedari potensi ekonomi IP mereka," katanya.

Kamel berkata, pada 2009, MYIPO menerima lebih 8,000 permohonan cap dagang, peningkatan sebanyak dua peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi paten, kira-kira 1,234 permohonan diterima tahun lepas, berbanding 864 pada 2008. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain