suria

Lelaki Warga Myanmar Mati Ditikam Di Leher

KUALA LUMPUR: Kegembiraan tiga sahabat warganegara Myanmar menyambut Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati dibunuh dipercayai akibat salah faham dalam satu pergaduhan di sebuah rumah berhampiran perkampungan setinggan, Jalan Peel petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata menurut saksi, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, berlaku pertengkaran dan suasana seperti orang bergaduh di dalam rumah yang disewa salah seorang dari tiga lelaki tersebut.

"Saksi berkenaan kemudian menghubungi pihak polis dan setibanya di tempat kejadian, kami menemui seorang lelaki mati ditikam di leher dengan satu senjata di dalam sebuah bilik.

"Siasatan seterusnya menemui sebilah pisau dengan panjangnya 12 inci di dalam rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa datang ke rumah berkenaan sejak lima hari lepas untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama dua rakannya di mana salah seorang (suspek pertama) merupakan penyewa rumah terbabit.

"Menurut saksi, ada seorang lelaki (suspek kedua) keluar dari rumah berkenaan sejurus kejadian itu berlaku.

"Dipercayai suspek merupakan individu terakhir bersama si mati dan ketika pergaduhan itu berlaku, lelaki itu tidak memakai baju dan hanya memakai kain sarung serta mempunyai tatoo di belakang badannya," katanya.

Abdul Rahim berkata polis turut menemui satu kad identiti milik si mati di tempat kejadian dan polis masih mengesan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan beliau berkata dua anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang anggota tentera di dalam Berek Kem Sungai Besi petang semalam.

Katanya dalam kejadian itu, polis menerima maklumat bahawa ada seorang anggota tentera didapati tidak sedarkan diri dan tertiarap berhampiran sebuah longkang di dalam berek berkenaan.

Abdul Rahim berkata lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati tengkuk mangsa dan tulang rusuknya patah dan polis kemudian menubuhkan satu pasukan menyiasat kes disyaki pembunuhan itu, katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, dua anggota tentera berumur 32 dan 35 tahun ditahan di dalam berek berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya mangsa berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang dan datang ke sini bagi menyertai satu kursus yang dijalankan sebelum menemui dua rakan lamanya itu (suspek yang ditahan).

Abdul Rahim berkata polis percaya berlaku salah faham yang mengakibatkan mangsa mati dan kedua-dua anggota tentera lain-lain pangkat itu kini ditahan.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain