suria

Guna Pengangkutan Awam Pulang Ke Kampung- Ong

Ong Tee Keat menyampaikan pek cenderahati kepada para penumpang KTMB. - Foto THE STAR oleh S. S. KANESAN
Ong Tee Keat menyampaikan pek cenderahati kepada para penumpang KTMB. - Foto THE STAR oleh S. S. KANESAN
Ong Tee Keat menyampaikan pek cenderahati kepada para penumpang KTMB. - Foto THE STAR oleh S. S. KANESAN

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang pulang kampung pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ini kerana pengangkutan awam seperti bas dan kereta api adalah lebih selamat berbanding kenderaan persendirian khususnya motosikal.

"Kalau kita buat perbandingan dari segi tahap keselamatan antara penunggang serta pembonceng motosikal dengan kereta. Bezanya 17 kali. Maksudnya, 17 kali lebih selamat naik kereta berbanding motosikal.

"Begitu juga kalau dibandingkan dengan menaiki bas, 30 kali ganda lebih selamat menaiki bas. Seterusnya, 300 kali ganda lebih selamat jika naik keretapi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, sempena perayaan Tahun Baru Cina, beliau menyampaikan pek cenderahati kepada para penumpang perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antarabandar dan KTM Komuter di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini.

Ia dianjurkan KTMB dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Sebanyak 2,500 pek cenderahati diedarkan kepada para penumpang.

Turut hadir, Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan dan Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh.

Ong memberitahu, sejak pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang antara lain melibatkan pengangkutan awam bandar, semua pihak bertanggungjawab untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam, khasnya musim-musim perayaan.

"Kalau nak buat perbandingan sepintas lalu, bilangan pengguna keretapi yang ditawarkan oleh KTMB dan Transit Aliran Ringan (LRT) terus meningkat khasnya di musim raya ini.

"Jadi ini bermaksud bila kita menangani NKRA khasnya dalam bidang pengangkutan awam, tumpuan kita adalah kepada keperluan rakyat," katanya.

Ong menambah, pihaknya peka kepada peningkatan bilangan gerabak khususnya Electric Multiple Units (EMU) yang mempunyai banyak gerabak.

Katanya, satu set keretapi yang mempunyai tiga gerabak akan ditambah kepada enam gerabak tidak lama lagi.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, sebanyak 35,908 keping tiket dijual daripada jumlah keseluruhan tiket sebanyak 40,028 tiket bagi tempoh 10-14 Februari.

Katanya, bagi tempoh 15-21 Februari pula, cuma tinggal 17,950 tiket daripada 53,208 tiket yang ditawarkan kepada para penumpang.

"Penjualan tiket KTMB Antarabandar telah dijual sebanyak 90 peratus sejak awal Februari hingga Ahad ini.

"Manakala untuk perjalanan pulang dari 15-21 Februari, masih ada 40 peratus yang boleh dibeli di kaunter-kaunter yang terdapat di Semenanjung Malaysia," katanya.

Bagi penggunaan komuter KTMB, Aminuddin memberitahu, bilangan penumpang meningkat hampir 2,000 orang sejak KTMB menggunakan satu jadual baru dan menambah frekuensi daripada 20 minit kepada 15 minit.

"Tahun lalu, kita ada 94,700 penumpang sehari. Sejak 6 Januari lalu, secara purata, kita membawa 96,700 penumpang sehari. Peningkatan hampir 2,000," katanya.

Jelas beliau, ini adalah hasil usaha peningkatan mutu perkhidmatan dari segi penjadualan dan ketepatan masa bagi tahun 2010.

Artikel Berikut

Artikel Lain