suria

Kerajaan Pertimbang Pendekkan Tempoh Perkhidmatan Wajib Doktor - Liow

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan sedang menimbang untuk memendekkan tempoh perkhidmatan wajib doktor di hospital kerajaan daripada lima tahun sekarang kepada empat tahun.

Beliau berkata langkah itu dilihat dapat menarik para doktor untuk tersu berkhidmat di hospital-hospital kerajaan secara sukarela.

"Memaksa mereka untuk berbuat demikian adalah tidak bagus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan B-Nes Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengkhususkan kepada pengeluaran produk sarang burung, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah pada 27 lepas bahawa kerajaan sedang meneliti untuk meningkatkan tempoh perkhidmatan wajib doktor di hospital-hospital kerajaan sehingga 10 tahun bagi mengatasi masalah kekurangan doktor.

Menyangkal kenyataan tersebut, Liow berkata langkah sedemikian juga tidak praktikal selain tidak mengatasi masalah kekurangan doktor.

Sektor awam dilaporkan berdepan dengan kekurangan doktor antara 14,000 dan 15,000 berbanding keperluan 25,000 orang, dan keadaan itu bertambah buruk apabila antara 300 dan 400 doktor meninggalkan perkhidmatan di hospital kerajaan lebih awal setiap tahun.

Kehadiran sekitar 3,000 doktor baru memulakan tugas setiap tahun juga tidak dapat menampung keperluan itu.

Liow berkata keputusan mengenai pemendekan tempoh perkhidmatan wajib itu akan dibuat menjelang hujung tahun ini.

Mengulas mengenai perkara berkaitan, Liow berkata pihaknya juga telah mengeluarkan surat pekeliling bulan lepas bagi menyeragamkan waktu bekerja untuk doktor residen dan pegawai perubatan di hospital kerajaan yang sebelum ini mengadu tempoh kerja yang terlalu panjang.

"Tempoh latihan itu adalah tempoh yang penting kerana doktor muda akan mempelajari segala kemahiran dan pengetahuan yang perlu untuk menjadi doktor yang cekap, termasuk menyesuaikan diri dengan kesibukan hidup seorang doktor.

"Tetapi saya tidak mahu waktu bekerja dan keadaan mereka bekerja menjejaskan kesihatan dan proses pembelajaran mereka dan juga kepentingan pesakit," katanya.

Mengulas mengenai industri produk sarang burung, Liow berkata pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menyeragamkan peraturan untuk mengawalselia industri tersebut.

Beliau berkata peraturan itu meliputi penternakan burung layang-layang, kaedah memproses sarang burung, import dan eksport serta kredibiliti sumber memandangkan industri itu mendatangkan pendapatan lumayan kepada negara iaitu sekitar RM1 bilion pada 2008. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain