suria

MCA Derma RM80,000 Kepada Gereja Metro Tabernacle

KUALA LUMPUR: MCA hari ini memberi sumbangan RM80,000 kepada Gereja Metro Tabernacle, yang berpindah ke premis barunya di Batu Caves, selepas kejadian khianat di tempat lamanya di Desa Melawati di sini pada 7 Januari lepas.

Derma itu disampaikan Naib Presiden MCA Datuk Seri Kong Cho Ha kepada paderi kanan gereja berkenaan Reverend Ong Sek Leang.

"Hari ini, kita dapat melihat para pemimpin dan anggota gereja ini melupakan episod berkenaan dan memaafkan serta mendoakan keamanan dan keharmonian negara ini, yang bagi saya adalah suatu sikap yang amat mulia," kata Kong pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata sumbangan itu bagi membantu gereja berkenaan menjalankan kegiatannya.

"Saya harap semua komuniti di negara ini akan mencontohi semangat Gereja Metro Tabernacle agar kita dapat hidup dengan harmoni di negara yang berbilang kaum, agama dan budaya ini," katanya yang mewakili presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ong berkata gereja itu berterima kasih kepada MCA kerana membenarkan dewannya di Wisma MCA digunakan secara percuma oleh anggota gereja itu bagi menjalankan kegiatan keagamaan mereka pada dua Ahad, selepas perbuatan khianat itu.

"Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami cintakan negara kami dan komited memajukan negara ini bersama kerajaan, kami tak memusuhi sesiapa, kami sudah maafkan, kami berterima kasih kepada MCA dan kerajaan kerana membantu kami menghadapi keadaan baru-baru ini," katanya.

Ong berkata gereja itu juga menerima sumbangan RM500,000 daripada kerajaan, RM100,000 daripada Yayasan CIMB dan RM6,000 daripada penderma lain.

Pada 29 Januari, dua adik-beradik bersama rakan mereka yang bekerja sebagai penghantar cepat, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan perbuatan khianat terhadap gereja itu. Mereka mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, 574 pelajar dari sembilan sekolah rendah dan empat sekolah menengah dari kawasan Pandan serta tiga sekolah dari Ampang, masing-masing menerima RM100 daripada Ong sebagai insentif kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah 2009.

Sumbangan itu disampaikan bagi pihak Ong oleh pegawai khas beliau bagi kawasan Parlimen Pandan Cindy Leong.

Ong masih berehat setelah menjalani pembedahan kecil pada bahagian kakinya. - BERNAMA

Artikel Lain