Pensyarah Kolej Komuniti, Politeknik Berhadapan Masalah Lepas Tukar Kementerian - Semasa | mStar

Pensyarah Kolej Komuniti, Politeknik Berhadapan Masalah Lepas Tukar Kementerian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti kini menghadapi pelbagai masalah termasuk kenaikan jawatan dan gred gaji selepas institusi pengajian tinggi itu diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sejak 2008.

Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata sehubungan itu ada antara pensyarah mendakwa mereka lebih selesa berkhidmat ketika kedua-dua institusi itu berada di bawah Kementerian Pelajaran.

"Kriteria yang perlu bagi kenaikan pangkat walaupun bagi pensyarah kanan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun adalah sangat ketat kerana mereka terpaksa membuat penyelidikan, kursus dan temuduga.

"Jika ada kenaikan pangkat ia adalah secara kekal dan akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Presiden NUTP Hashim Adnan pula berkata tahap skim perkhidmatan kolej komuniti dan politeknik kini lebih rendah berbanding tingkatan enam, kolej matrikulasi dan institut perguruan.

"Skim perjawatan bagi institusi itu adalah daripada gred 44 ke atas sementara bagi pensyarah kolej komuniti dan politeknik gaji mereka adalah lebih rendah hanya daripada gred 29 hingga 41, justeru ia perlu diteliti semula oleh pihak kementerian," katanya.

Tambahnya selain kenaikan jawatan dan gred gaji terdapat masalah lain seperti kesukaran memohon cuti tahunan.

"Sebelum ini mereka hanya menikmati cuti semester bagaimanapun ia telah diubah menjadi cuti tahunan yang sukar untuk dipohon," katanya.

Hashim berkata perkara ini sudah pun diajukan kepada pihak kementerian berkaitan sejak dua tahun lalu.

"Kami telah membawa perkara ini kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi tetapi selepas dua tahun ia masih belum dapat diselesaikan yang kemudiannya kami terpaksa dedahkan untuk membuka mata pihak tertentu," katanya.

Untuk rekod, sehingga kini jumlah pensyarah politeknik ialah seramai 6,406 dan kolej komuniti ialah 2,093 orang.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Pencari Daun Palas Hilang Ditemui Mati

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

Artikel Lain