suria

Perbicaraan Pemandu Sebabkan Kematian Tiga Beranak 28 April

JITRA: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 April ini sebagai tarikh perbicaraan kes membabitkan seorang pemandu lori yang menghadapi tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak Disember tahun lepas.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas Yusri Ismail, 35, yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan berkenaan.

Yusri dari Taman Bersatu di sini, yang memandu lori muatan tanah ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.10 petang, 23 Disember tahun lepas di persimpangan lampu isyarat jalan Jitra-Kodiang di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Dalam kejadian itu, Bunyamin Yaakub, 30, dan isterinya Normah Mat Isa, 29, serta anak mereka Ilnur Balqis Bunyamin berusia sembilan bulan, maut di tempat kejadian selepas kereta yang mereka naiki dirempuh lori dipandu Yusri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris. - BERNAMA

Artikel Lain