suria

Jiran Nampak Tertuduh Cukur Rambut Muntik Di Depan Rumah

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau nampak tertuduh kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, mencukur rambut pembantu rumah itu di pintu hadapan rumahnya pada September tahun lepas.

Tan Siew Choo, 37, yang tinggal bertentangan dengan rumah tertuduh, A.Murugan, berkata beliau juga pernah nampak tertuduh memarahi Muntik dengan suara yang kuat dan menendang kaki pembantu rumah itu sebanyak dua kali.

"Pembantu rumah itu (Muntik) menjerit kesakitan dan tertuduh dilihat dalam keadaan marah semasa menendang pembantu rumah itu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd.Ghani pada hari ke-10 perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh yang merupakan seorang penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Terdahulu saksi ke-30 pendakwaan itu berkata pertama kali beliau melihat Muntik pada bulan September lepas, keadaan fizikal pembantu rumah itu dalam keadaan baik, bagaimanapun semasa kali terakhir beliau melihatnya, iaitu seminggu sebelum perayaan Deepavali pada Oktober lepas, Muntik dilihat berjalan dengan lemah dan wajahnya lebam.

Saksi ke-29 pendakwaan, V.Rajendran, 47, yang merupakan jiran kepada bekas majikan Muntik, Puah Hooi Sueew dalam keterangannya berkata, beliau tidak pernah mendengar suara menengking atau jeritan sepanjang Muntik bekerja di rumah bekas majikannya.

Katanya kali terakhir beliau melihat Muntik di rumah bekas majikannya ialah antara 15 dan 16 Ogos tahun lepas dan ketika itu Muntik dilihat dalam keadaan sihat, berjalan dengan normal dan berambut pendek paras atas bahu.

Rajendran bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela tertuduh, V.Rajehgopal bahawa beliau selalu pergi ke tepi pagar rumah Puah dan berbual dengan Muntik serta tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa hubungannya dengan Muntik diketahui oleh isterinya.

"Saya katakan Muntik pernah mengadu kepada kamu bahawa bekas majikannya ada menderanya," soal Rajehgopal dan Rajendran menjawab: "Tidak setuju."

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung 8 Februari ini. - BERNAMA

Artikel Lain