suria

Dua Lelaki Curi Jongkong Emas Dihukum Penjara, Sebat

PULAU PINANG: Dua lelaki dihukum penjara empat tahun dan sebat setelah didapati bersalah merompak jongkong emas dan barang berharga di sebuah kilang di sini dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosilah Yop menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang didakwa dilakukan oleh Ooi Eng Hiap, 26, dan Chuan Guan Teik, 27.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ooi dan Chuan dihukum penjara masing-masing empat tahun. Ooi juga dikenakan hukuman dua sebatan dan Chuan pula tiga sebatan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kilang Legend Art Gold di No 16, Tingkat 1, Fortune Park, Jalan Perusahaan Jelutong 2 di sini, pada 11 malam 29 Disember 2008.

Bagi pertuduhan pertama, mereka berdua didakwa telah merompak lapan kilogram jongkong emas, lima kilogram barang kemas, wang tunai dan alat perakam serta unit pemprosesan komputer kamera litar tertutup (CCTV) milik Kilang Legend Art Gold Smith bernilai RM1.4 juta.

Tuduhan kedua, Ooi dan Chuan didakwa telah merompak sepasang subang emas, sebentuk cincin, sebuah kereta, dua telefon bimbit, dan satu komputer riba milik Cheah Saw Zhen, 23.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Amir Abdul Rani manakala pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya, Sariza Ismail.

Hakim Rosilah memerintahkan hukuman penjara terhadap mereka berdua berjalan secara serentak dengan Ooi bermula dari hari ini manakala Chuan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Januari tahun lepas.

Beliau membenarkan permohonan Ooi dan Chuan supaya pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan mereka didengar di Mahkamah Tinggi.

Rosilah juga membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, mereka ini diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin. Hanya Ooi membayar ikat jamin. Rosilah berkata hukuman itu dikenakan setelah mengambil kira fakta kes, kepentingan awam dan kepentingan tertuduh.

"Dengan adanya orang seperti kamu dalam masyarakat, kehidupan masyarakat tidak akan aman dan tenteram. Apa yang kamu berdua lakukan terhadap mangsa amat jahat sekali.

"Kamu rompak, larikan barangannya dan mencederakannya. Semoga hukuman ini dapat menjadi pengajaran buat kamu berdua pada masa depan dan juga orang di luar sana yang berniat untuk melakukan kesalahan yang sama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain