suria

Persiapan Kenduri Arwah Hangus

ALOR SETAR: Selepas kematian suami 44 hari lepas, seorang wanita sekali lagi ditimpa malang apabila rumahnya di Hutan Kampung, di sini hangus dalam kebakaran petang semalam, menyebabkan semua persiapan untuk kenduri arwah suaminya hari ini musnah sama sekali.

Fadzilah Mohd Zahari, 46, berkata beliau hanya sempat menyelamatkan dua almari pakaian arwah suaminya dan sebuah televisyen kerana ia berada hampir dengan pintu keluar rumahnya.

"Semalam saya telah mengambil batu nisan arwah suami dan syukur batu nisan itu ada dalam kereta adik saya. Kalau saya keluarkan batu nisan itu, tentu ia turut terbakar,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Fadzilah, seorang peniaga berkata wang simpanannya berjumlah RM1,200 turut hangus dan beliau menganggarkan jumlah kerugian kira-kira RM80,000.

Beliau berkata ketika kejadian beliau berada di kedai bersama anak perempuannya manakala anak bongsunya pula tiada di rumah dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang jiran.

Jurucakap Bilik Gerakan Bomba Jalan Tun Razak berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.47 petang dan 13 anggota bersama dua jentera mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain