suria

Operasi Cari Mangsa Banjir Di Tongod Dihentikan

KINABATANGAN: Pasukan penyelamat hari ini menghentikan operasi mencari seorang mangsa banjir yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu apabila perahu yang dinaikinya terbalik akibat arus deras ketika menyeberang sungai di Kampung Soguon di Tongod di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini Abdul Kadir berkata gerakan mencari Manaf Ansaroh, 40, yang disertai anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela serta penduduk kampung dihentikan berikutan peluang untuk menemui mangsa dipercayai amat tipis.

Usaha mencari yang dimulakan sejak Isnin lepas membabitkan kawasan pencarian sepanjang 30 kilometer dari Kampung Soguon sehingga Kampung Karamuak.

"Namun sehingga semalam operasi masih gagal menemui mangsa dan hari ini kami mengambil keputusan untuk menghentikannya," katanya.

Bagaimanapun ahli keluarga dan penduduk kampung masih lagi meneruskan usaha mencari mangsa.

Sehingga pukul 5 petang ini, paras air sungai Kinabatangan semakin meningkat kepada 11.60 meter menyebabkan jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir bertambah kepada 3,047 orang dari 658 keluarga.

Sebanyak tiga buah Sekolah Rendah masih ditutup berikutan bangunan sekolah dinaiki air dan akan dibuka selepas banjir pulih sepenuhnya.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir Kinabatangan, Arisin Arifin berkata sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih, SK Desa Permai dan SK Bukit Garam.

Katanya SK Desa Permai telah ditutup sejak lapan hari lepas, manakala SK Bukit Garam dan SK Batu Putih ditutup bermula semalam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain