suria

Bekas Pegawai Memerintah Kapal Diraja Sri Inderapura Dihadapakan ke Mahkamah Tentera Isnin

LUMUT: Bekas pegawai memerintah Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di sini pada Isnin ini berhubung kejadian kes kebakaran kapal logistik terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 8 Oktober lepas.

Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pegawai memerintah itu akan menghadapi dua pertuduhan dan boleh melantik peguam untuk membela dirinya.

"Itu tradisi kita di TLDM bahawa kita sentiasa menunjukkan tanggungjawab dalam menjaga aset negara.

Ia tidak bermakna orang yang dituduh itu bersalah tetapi beliau perlu membuat pembelaan, kerana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelucutan tauliah KD Sri Inderapura dan Kapal Tunda Diraja (KTD) Sotong di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan membawa pihak yang bertanggungjawab itu merupakan tradisi tentera di negara ini bahawa walau apa sekalipun, seseorang pegawai memerintah itu bertanggungjawab terhadap segala perkara berkaitan kapal terbabit.

"Buat masa ini hanya seorang sahaja (yang akan dihadapkan ke mahkamah), seperti yang saya katakan seseorang pegawai memerintah bertanggungjawab memastikan hak milik dan aset negara berada dalam keadaan selamat.

Kita boleh mengalami kebakaran tetapi kita tidak boleh kehilangan sesebuah kapal," katanya.

Beliau berkata pegawai terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan bersedia menghadapi prosiding di mahkamah.

Abdul Aziz berkata siasatan lanjut dan terperinci berhubung kebakaran kapal berkenaan masih diteruskan dan jika didapati ada pihak lain yang perlu bertanggungjawab, TLDM bersedia untuk membawa mereka ke mahkamah.

Katanya TLDM mengkaji laporan siasatan kes kebakaran KD Sri Inderapura dan pihaknya telah mengambil beberapa langkah untuk menangani serta memperkemaskan tindakan terhadap beberapa kelemahan dan kelonggaran.

"Saya akui terdapat beberapa kelemahan dan ia telah diberikan penumpuan dan telah diambil tindakan sewajarnya untuk menentukan aset dan hak milik kerajaan sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain