suria

Permohonan Uthayakumar Bagi Jumlah Suspek Mati Ditembak Polis Dibenarkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan peguam P. Uthayakumar supaya polis mendedahkan jumlah suspek penjenayah yang mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis dari tahun 2000 sehingga pada hari perhimpunan besar-besaran anjuran Hindraf pada 25 Nov, 2007.

Hakim Sabariah Othman juga membenarkan permohonan peguam itu supaya polis mendedahkan butiran nama, umur dan nama suspek berkenaan pada perbicaraan akan datang yang ditetapkan pada 22 Feb.

Uthayakumar membuat permohonan itu secara lisan semalam selepas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aaman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan polis telah mengumpul statistik mengenai mereka yang mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Dalam prosiding hari ini, Uthayakumar berhujah yang beliau memerlukan statistik untuk tujuan pembelaan dan menurutnya komen beliau yang dimuatkan dalam laman web "Police Watch Malaysia" bukan sekadar tuduhan semata-mata.

"Saya telah mengumpulkan statistik mengenai kejadian ini (tembak-menembak) sejak 2000 berdasarkan laporan akhbar tetapi saya lebih suka bergantung kepada angka rasmi daripada polis bagi hujahan dalam kes saya mengenai isu ini," kata Uthayakumar yang mewakili dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin pula membantah permohonan itu atas alasan kerelevanannya terhadap pertuduhan yang dihadapi peguam itu berikutan tanggungjawab pihak pendakwaan ialah untuk membuktikan sama ada artikel dalam laman web itu berupa hasutan dan bukan mengenai ketepatan angka yang dinyatakan dalam artikel itu.

Pada 11 Dis, 2007, Uthayakumar, 47, mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan menerbitkan surat berunsur hasutan di laman web "Police Watch Malaysia".

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dua hari kemudian, Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan pengibatannya dalam demontrasi jalanan di sini pada 25 Nov dan didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Sementara itu, Acryl yang merupakan saksi pertama pendakwaan semasa di periksa balas hari ini memberitahu mahkamah yang polis hanya menerima satu laporan mengenai seorang yang mengambil bahagian dalam demonstarsi itu yang cedera.

Katanya lelaki itu dikenal pasti sebagai B. Arumugam, 27 dan cedera di hidung akibat terkena serpihan kanister gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.

Bagaimanapun, Acryl tidak bersetuju dengan cadangan Uthayakumar bahawa lebih 100 yang cedera dalam demonstrasi itu dan mereka tidak membuat laporan polis kerana amat jarang anggota polis didakwa bagi tindakan mereka.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa polis cawangan khas mungkin mempunyai maklumat risikan mengenai kecederaan pada hari berkenaan.

Hakim Sabariah kemudian menolak permohonan Uthayakumar supaya mahkamah mengarahkan Acryl mengemukakan laporan itu kepada mahkamah.

Uthayakumar turut diwakili peguam N.Surendran dan peguam Charles Hector.- BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain