suria

Kempen Galak Bukan Melayu Sertai ATM Mulai Bulan Depan - Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Kempen besar-besaran untuk menggalakkan orang bukan Melayu menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bermula bulan depan di seluruh negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya kempen itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Cina dan India, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India.

"Satu iklan khas mengenai kempen ini akan disiarkan kerana selama ini bukan Melayu menganggap ATM hanya dikuasai oleh orang Melayu sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yeong Seng, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyeru semua parti politik termasuk pembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan menggalakkan lebih ramai bukan Melayu menyertai pasukan keselamatan itu serta menterjemahkan konsep 1Malaysia.

"Tidak ada paksaan untuk mengajak bukan Melayu menyertai ATM sebaliknya ia (penyertaaan itu) timbul daripada rasa tanggungjawab mereka untuk mempertahankan keselamatan negara," katanya.

Katanya walaupun bilangan pegawai dan anggota bukan Melayu adalah kecil dalam ATM namum peluang kenaikan pangkat adalah terbuka luas untuk mereka, sama seperti yang ditawarkan kepada pegawai dan anggota Melayu yang berkelayakan.

Penyertaan bukan Melayu dalam ATM tidak terhad kepada pasukan konvensional sahaja sebaliknya mereka diberi peluang menyertai bidang perubatan, kejuruteraan, perang elektronik serta pasukan infantri.

Selaras dengan kempen itu, katanya, pasukan kadet di sekolah rendah dan menengah akan diperkukuhkan bagi tujuan memberi suntikan semangat patriotik dan ketenteraan kepada golongan pelajar.- BERNAMA

Artikel Sebelum

YWP Bantu 161 Pelajar Miskin

Artikel Lain