suria

Rakyat Malaysia Digesa Bantu Mangsa Gempa Bumi Haiti

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia merayu rakyat negara ini membantu mangsa gempa bumi di Haiti dengan menghulurkan bantuan kepada mana-mana pertubuhan yang kini berada di negara itu untuk memberikan bantuan.

Presidennya Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata Mercy Malaysia sedang memantau situasi di negara itu dari ibu pejabatnya dan melalui rakannya, sebuah badan bukan kerajaan yang beribupejabat di United Kingdom, Merlin, yang kini berada di tempat kejadian di Haiti.

"Mercy Malaysia kini menghadapi kekurangan dalam aspek kewangan dan tenaga kerja. Bagi Haiti, jarak geografi memerlukan kos yang tinggi.

"Dengan itu kita tidak dapat menghantar kakitangan dan atau sukarelawan untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Haiti ketika mereka memerlukannya," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata gempa bumi 7.0 magnitud melanda Haiti semalam dan ramai penduduk dikhuatiri mati kerana gempa susulan masih berlaku di ibu negara itu, Port-au-Prince.

Ramai mangsa gempa bumi dikhuatiri terperangkap atau tertimbus di bawah runtuhan bangunan sekolah, hospital serta rumah, dan bagaimanapun sambutan daripada masyarakat dan pertubuhan antarabangsa sangat menggalakkan dalam aspek jumlah bantuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain