suria

KPKT Cadang Tingkatkan Hukuman Ah Long

PUTRAJAYA: Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji pindaan terhadap Akta Pemberi Pinjam Wang Berlesen (APPW) 1951 bagi membolehkan Ah Long ditangkap tanpa waran dan denda ditingkatkan selari dengan usaha membanteras kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, hukuman sedia ada iaitu denda RM25,000 hingga RM100,000 atau penjara lima tahun dicadang diberatkan kepada RM50,000 hingga 200,000 atau penjara lima tahun.

Katanya, hukuman sebatan turut dicadangkan bagi kesalahan berulang.

"KPKT telah menyiapkan kertas cadangan di peringkat jabatan. Pentadbiran dah siap. Ketua Setiausaha KPKT) akan membentangkan kepada Menteri," katanya pada sidang akhbar kempen kesedaran membanteras gejala pemberi pinjam wang tidak berlesen (Ah Long) di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Sementara itu, Abu Seman berkata, syarikat media Hi-Q Media Sdn Bhd bersetuju bekerjasama dengan KDN memaparkan kesan-kesan negatif meminjam daripada Ah Long.

Menurutnya, gambar-gambar keganasan ah long itu sama seperti papan iklan tetapi dalam bentuk skrin elektronik digital diletakkan di tepi-tepi jalan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, iklan-iklan digital tersebut boleh didapati di seluruh negara dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

"Contohnya, gambar kes penghutang kena rantai, rumah dibakar, diconteng dengan grafiti, disimbah cat dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Seman berkata, pihak kementerian mempertimbangkan kesesuaian cadangan pinjaman ditawarkan kepada mereka yang memerlukan bantuan kewangan dengan menggunakan konsep kad kredit.

Jelas beliau, kementerian perlu terlebih dahulu berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menambahbaikkan konsep pinjaman dengan kad kredit itu.

"Kalau pinjam dengan pemberi pinjam wang berlesen, mereka boleh menggunakan kad kredit sebagai cagaran. Ia seperti suatu jaminan bank.

"Yang paling penting ialah kadar bunga lebih rendah daripada Ah Long. Kita cadangkan satu konsep. Kita fikir di luar kotak. Bagaimanapun, kita kena tambahbaik mekanisme pelaksanaannya," katanya.

Dalam pada itu, Abu Seman berkata, sebanyak 484 kes melibatkan kegiatan Ah Long di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang Berlesen (APPW) 1951 dilaporkan pada tahun 2009, manakala sebanyak 256 kes pada tahun 2008.

Daripada jumlah tersebut katanya, Johor merupakan negeri yang dilaporkan mempunyai kes tertinggi iaitu 118 kes dan diikuti Selangor sebanyak 85 kes.

Katanya, kementerian dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberhentikan sebanyak 6,163 nombor telefon Ah Long yang dipaparkan dalam iklan.

"Sebanyak 11 kes pula disiasat di bawah Anti-Money Laundering Act 2001 (AMLA) dengan nilai rampasan sebanyak RM57.28 juta pada tahun lalu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain