suria

Dua Lelaki Ditahan Miliki Kereta Curi

KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun menggunakan kereta yang dicuri, seorang lelaki akhirnya ditahan semalam selepas polis menerima panggilan daripada pemilik asal kereta itu.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang semalam, pemilik kereta yang berusia 33 tahun itu terlihat kereta jenis Proton GTI miliknya berada berhampiran Kuchai Entrepreneur Park di sini dan menghubungi pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Azri Abdul Rahman berkata tindakan pantas polis berjaya menahan suspek yang berusia 26 tahun selepas mengejar kereta yang dinaiki suspek berhampiran lampu isyarat di Jalan 1/116B di sini.

"Selepas polis berjaya memintas kereta tersebut, suspek cuba melarikan diri kira-kira 20 meter sebelum ditahan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Pemilik kereta itu juga mengesan rim tayar milik keretanya telah dipindahkan ke sebuah kereta jenis Honda Civic yang diletakkan berhampiran dengan tempat keretanya ditemui.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang merupakan rakan kepada suspek pertama, dalam kereta Honda Civic itu yang dilaporkan hilang di Cheras pada 2006.

"Suspek cuba melarikan diri melalui pintu kiri kereta ketika ditahan polis. Hasil pemeriksaan dalam kereta Honda Civic itu polis menemui sebuah telefon bimbit, pemutar skru, spanar dan beberapa alatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta," katanya.

Katanya suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi kereta manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau iaitu melarikan diri dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain