suria

Saifuddin Teruskan Pentadbiran Salehuddin

Saifuddin Nasution Ismail
 Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelantikannya menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin sebagai penyambung tugas dalam meneruskan perjuangan parti itu.

Saifuddin yang akan memulakan tugasnya pada 1 Febuari ini memberitahu, pelantikan tersebut adalah sebagai satu tanggungjawab untuk mengekalkan sistem yang ada dan memantapkan lagi perjuangan parti itu.

"Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan Datuk Salehuddin telah tinggalkan sistem yang baik dan saya akan meneruskan sistem yang ada," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu akan menggunakan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia politik dan berjanji memantapkan organisasi parti sebaik mungkin.

"Insya-Allah, pengalaman selama 20 tahun dalam dunia politik akan saya gunakan sebaiknya dan perkara yang akan menjadi fokus saya adalah memantapkan organisasi parti," katanya.

Tambahnya lagi, fokus terhadap masalah rakyat juga akan menjadi keutamaannya lebih-lebih lagi di kawasan jajahan PKR dan bersedia dalam membantu persiapan jentera parti dalam pilihan raya ke-13 akan datang.

"Masalah rakyat turut menjadi perhatian saya dan kita ada dua tahun sahaja lagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya. Jadi dari sekarang kita kena bersedia," ujarnya.

Ditanya apakah beliau akan bertemu dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan nasihat, Saifuddin berkata, beliau belum lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Anwar.

"Setakat ini saya belum lagi duduk dan berbincang dengan Datuk Seri (Anwar) mengenai tugas saya kerana Datuk Salehuddin masih lagi bertugas sehingga akhir bulan ini.

Insya-Allah selepas ini saya akan berbincang lanjut dengan beliau mengenai tugas baru saya," katanya.

Ini adalah kali kedua Saifuddin dilantik untuk menguruskan jentera sebuah organisasi politik. Pada tahun 1997, beliau pernah dilantik menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Saifuddin memegang jawatan itu sehinggalah reformasi meletus dan Ahmad Zahid melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno.

Saifuddin pula menyertai Anwar dalam gerakan reformasi sehinggalah Keadilan terbentuk beberapa tahun kemudian dan menjadi sebahagian daripada pengasas parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw ketika dihubungi menyifatkan pelantikan sasifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR sebagai pilihan tepat dan bijak.

"Beliau seorang yang baik dan mesra dengan orang ramai, pemilihannya sebagai Setiausaha Agung amat sesuai," katanya.

Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi membuat keputusan untuk menerima notis peletakan jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.

Salehudddin yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain