suria

Bicara Kes Maria Tunku Sabri 27 September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 dan 28 September depan untuk perbicaraan kes saman personaliti TV3 Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan kerana mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta selepas lelaki itu gagal menunaikan janji untuk berkahwin dengannya.

Hakim Nor Azian Shaari menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas kes itu didengar untuk sebutan hari ini.

Peguam Maria, Sangeet Kaur Deo, ketika dihubungi berkata keduadua pihak diminta untuk memfailkan ikatan dokumen tuntutan fakta yang dipersetujui dan tidak dipersetujui serta kenyataan saksi.

Katanya, plantif (Maria) akan memanggil seorang saksi manakala pihak defendan akan memanggil dua saksi ketika perbicaraan itu.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Datuk Wan Johani Wan Hussin, 57, kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria, 40, pengacara program "Jalan-Jalan Cari Makan", memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Wan Johani diwakili peguam Akhbar Din Abdul Kader manakala Sangeet turut dibantu peguam Rahmath Nisa Segu Alabudin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain