suria

Kabinet Tidak Berpecah Kerana Isu Kalimah Allah

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan berlakunya perpecahan dalam Kabinet berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

Beliau berkata, melalui pendekatan serupa yang diguna pakai oleh Kabinet sejak negara ini mencapai kemerdekaannya, perbezaan pendapat dalam kalangan anggota Kabinet telah banyak kali berlaku sebelum ini.

"Kami semua berada dalam bahtera yang sama dan bertanggungjawab bagi apa jua yang berlaku terhadap negara ini. Sama ada kulit kami berwarna kuning, coklat, hijau atau hitam dan sama ada kami menganut agama Islam, Buddha atau Kristian, kami semua bertanggungjawab untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan sama ada isu itu boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan anggota Kabinet yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sambil mengakui bahawa isu itu tidak mudah untuk ditangani, Hishammuddin berkata, ia merupakan suatu cabaran yang perlu dihadapi oleh negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama dari masa ke semasa.

"Ia memerlukan kebijaksanaan dan keberanian yang tinggi serta persefahaman yang mendalam dan inilah kelebihan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana kami telah melalui proses ini sejak lama dulu," katanya.

Hishammuddin juga menafikan laporan kononnya beliau membenarkan satu demonstrasi diadakan bagi membantah penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menanganinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain