suria

Pelajar Perempuan Cedera Dipukul Penyamun Ketika Tunggu Teksi

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan cedera selepas kepala dan bahunya dipukul seorang penyamun ketika sedang menunggu teksi di tepi warung di Lorong Semambu Baru di sini, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian pada 2.45 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 20 tahun sedang menunggu teksi seorang diri untuk ke Terminal Makmur.

"Mangsa didatangi seorang lelaki bermotosikal jenis Yamaha Lc berwarna putih dan mengusiknya menyebabkan mangsa tidak selesa dan tidak mempedulikan usikan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek secara tiba-tiba memukul belakang mangsa sebanyak tiga kali menggunakan topi keselamatan sebelum mangsa jatuh tertiarap.

Tidak cukup dengan itu katanya, suspek memukul belakang bahu mangsa menggunakan kerusi plastik yang berada berhampiran selain menarik seluar yang dipakai mangsa kerana bimbang gadis itu melarikan diri.

"Suspek berjaya mengambil sebuah telefon bimbit milik mangsa dan cuba mengambil sebuah komputer ribanya namun gagal apabila datang sebuah kereta membantu mangsa yang mengalami lebam-lebam dan bengkak," katanya.

Noor Asyikin berkata, suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri namun tidak sempat membawa bersama motosikalnya.

Polis kini sedang memburu mangsa berdasarkan motosikal tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5132222. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain