suria

Ibu Tunggal Ditahan, Dadah Bernilai RM70,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik peniagaan menjual bunga, seorang ibu tunggal rupa-rupanya menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak enam bulan lepas di satu kawasan perkuburan Jalan Loke Yew di sini.

Polis yang berjaya menghidu kegiatan haram itu melakukan serbuan ke rumah wanita berusia 37 tahun pada jam 2.45 pagi Jumaat lepas dan menemui tiga ketul ganja seberat 940 gm dan empat paket heroin seberat 1,280 gm dengan anggaran nilai RM70,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) Asisten Komisioner Kang Chez Chiang memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, wanita itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Ramai yang tidak mengesyaki kegiatan haram wanita itu kerana menyangka beliau penjual bunga," katanya.

Kang berkata, wanita itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang anak lelaki lapan tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain