suria

Ragam Pelajar Hiasi Sesi Pertama Persekolahan Di Pantai Timur

KOTA BHARU: Sesi persekolahan bagi tahun 2010 di Kelantan bermula hari ini diisi dengan pelbagai ragam dan senario tangisan hari pertama, memeriahkan suasana dan persekitaran sekolah.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Kamil 3, di Pasir Puteh di sini mendapati, kebanyakan bilik darjah yang menempatkan murid tahun satu dan prasekolah 'gamat' dengan tangisan murid dan pujuk rayu ibu bapa dan guru.

Lebih melucukan ada murid yang sanggup memeluk kemas tiang yang berada di luar bilik darjah selain berlaku adegan kejar mengejar antara guru dan murid.

“Memang gamat, anak saya pun menangis tidak mahu masuk ke bilik darjah sedangkan pagi tadi dia begitu semangat bangun dan mandi untuk ke sekolah, tak sangka pula bila sampai ke sekolah dia tak mahu masuk ke kelas,“ kata seorang ibu, Liza Abdul Hadi, 28.

Liza yang meluangkan masa menghantar anak keduanya, Muhammad Hazriq Iskandar Muhd Faiz memasuki kelas prasekolah berkata, beliau bagaimanapun tetap meninggalkan anaknya di sekolah kerana tidak mahu menganggu tumpuan guru-guru menjalankan proses pembelajaran.

“Biarlah Hazriq menangis pun, saya tetap tinggalkan dia kerana saya perlu bekerja. Lagipun bagi saya bila ibu bapa tidak duduk menunggu, itu lebih baik kerana anak-anak akan lebih cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman berkata, ibu bapa sememangnya tidak dibenarkan menunggu anak-anak mereka di sekolah kerana ianya boleh menjejaskan tumpuan murid terhadap proses pembelajaran.

“Saya pasti di setiap sekolah ada diletakkan papan tanda tidak dibenarkan menunggu murid. Justeru itu kita minta ibu bapa patuhilah kerana ada guru yang akan menjaga dan mengawasi mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Ghazali berkata, kesemua 570 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini termasuk yang teruk dilanda banjir sebelum ini memulakan sesi pembelajaran dengan lancar tanpa sebarang masalah dengan mempunyai kelengkapan pembelajaran yang sempurna dan mencukupi.

Seramai 384,000 pelajar dan murid dari 570 buah sekolah menengah dan rendah di Kelantan memulakan sesi persekolahan hari ini dengan seramai 31,202 antaranya adalah murid Tahun Satu dan 32,495 pelajar Tingkatan Satu.

Di Terengganu, seramai 21,115 murid Tahun Satu memasuki alam persekolahan.

Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong ketika ditemui pada majlis pelancaran sekolah satu sesi di Sekolah Menengah Panji Alam di sini berkata, kemasukan murid ke Darjah Satu berjalan lancar kerana sekolah-sekolah telah membuat persiapan awal.

Mengenai Sekolah Menengah Panji Alam yang memulakan penggal persekolahan dengan satu sesi, beliau berkata, ia dibuat ekoran permintaan daripada ibu bapa supaya sekolah itu dijadikan satu sesi.

Beliau berkata, setakat ini, 80 sekolah menengah dan rendah di Terengganu telah menjalani persekolahan satu sesi.

Mengenai Sekolah Kebangsaan Paya Bunga yang merupakan salah sebuah sekolah kurang murid, Ariffin berkata pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan imej sekolah tertua di Terengganu itu.

Sekolah yang terletak di tengah bandaraya ini hanya menerima kemasukan 15 orang murid Darjah Satu manakala tahun lepas hanya 13 orang murid.

Sementara itu, sesi persekolahan yang juga bermula di Kedah hari ini turut diwarnai dengan pelbagai ragam dan gelagat murid Tahun Satu dalam menghadapi pengalaman baru di alam persekolahan sebenar.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Taman Uda di sini menyaksikan seorang murid, Haziq Naufal Hashimi, 7, secara senyap-senyap keluar kelas melalui pintu belakang untuk bersama bapanya yang menunggu di luar kelas.

Bapa murid itu, Hashimi Lazim, 40, berkata, anaknya sangat aktif dan banyak bercakap semasa di rumah tetapi tidak menunjukkan minat untuk masuk ke kelas.

"Mungkin sebab dia tidak mendapat kawan lagi, sebab itulah dia malu dan tidak mahu bergaul dengan orang lain, tapi dia tak pula menangis...masa awal-awal prasekolah dulu pun dia macam ni juga, lepas dapat kawan tak ada masalah la," katanya yang mengambil cuti hari ini.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abdul Rahman berkata, seramai 37,621 pelajar Tahun Satu dan 37,502 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan hari ini.

"Sebanyak 1,181 buah kelas untuk pelajar Tahun Satu dibuka dan sebanyak 1,026 buah kelas untuk pelajar Tingkatan Satu," katanya ketika dihubungi.

Sesi persekolahan untuk negeri-negeri lain bermula esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain