suria

Operasi: 145 Saman Dikeluarkan

IPOH: Polis mengeluarkan 145 saman terhadap pemandu kenderaan kerana pelbagai kesalahan trafik dalam operasi tahun baru yang diadakan di jalan-jalan utama sekitar bandar raya ini sejak tengah malam tadi hingga pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, polis turut menahan tiga penunggang motosikal dan empat pemandu kereta dalam operasi itu.

"Empat pemandu kereta berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan kerana didapati mabuk ketika memandu, manakala tiga penunggang berusia 20-an itu ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Abdullah berkata, tiga penunggang motosikal ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala empat pemandu kereta ditahan mengikut Seksyen 45 (APJ) 1987.

Katanya, kira-kira 700 pemandu pelbagai kenderaan diperiksa dalam operasi yang disertai 80 anggota di Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Kuala Kangsar, Jalan Sultan Idris, Jalan Raja Dihilir dan Jalan Tambun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain