suria

JPJ Tumpu Pada Kesalahan Ragut Nyawa

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi tumpuan kepada tujuh jenis kesalahan dalam usahanya mengurangkan kemalangan yang meragut nyawa, kata Pengarah Penguatkuasaannya Salim Parlan.

Kesalahan itu ialah memandu lebih daripada had laju dibenarkan, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

"JPJ akan memberi fokus terhadap tujuh kesalahan ini untuk mengurangkan kes kemalangan yang membabitkan kematian," katanya kepada pemberita di Plaza Tol Jalan Duta di sini selepas mengetuai Ops Ambang Tahun Baru awal pagi ini.

Salim berkata pada 2009, sebanyak 4,452 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat, memandu lorong kecemasan (635), memotong garisan berkembar (6,153) dan mengguna telefon bimbit tanpa alat bebas tangan (4,325).

Semua kesalahan itu dikenakan saman RM300 dan JPJ memberi kelonggaran bayaran bagi tempoh tertentu, katanya.

"Tetapi, jika pemandu membuat bayaran di antara hari pertama hingga ke hari ke15 selepas tarikh disaman, mereka hanya perlu membuat bayaran 70 peratus dan jika membuat bayaran di antara hari ke 16 hingga ke30, mereka dikehendaki membayar 85 peratus daripada jumlah saman.

"Selepas tempoh itu, pemandu dikehendaki membayar penuh saman. Ini bukanlah potongan harga atau diskaun tetapi dengan cara ini, ia akan menggalakkan orang ramai untuk membayar saman mereka, katanya.

Sementara itu, Salim berkata dalam operasi awal pagi ini, JPJ mengeluarkan 952 saman dan menyita 80 kenderaan kerana pelbagai kesalahan.

Dalam operasi dua jam mulai pukul 10.30 malam, pelbagai kesalahan dilakukan pemandu termasuk tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, tamat tempoh cukai jalan dan mengubah suai kenderaan.

Operasi itu, yang dijalankan serentak di 25 lokasi di seluruh negara oleh JPJ, turut memeriksa 9,676 kenderaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain