suria

Kastam Rampas Rokok Kretek Bernilai RM685,056

SEREMBAN: Kastam Negeri Sembilan menahan sebuah lori yang membawa 8,680 karton rokok kretek bernilai RM685,056 termasuk cukai,dipercayai diseludup dari negara jiran di Kilometer 79, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Kampung Meraga, Beris, Kemaman, Terengganu, Selasa lalu.

Pengarahnya Mohd Kassim Ismail berkata lori itu, dengan nombor pendaftaran palsu, berjaya dipintas dan ditahan oleh anggota Kastam pada pukul 8 pagi setelah mengejarnya sejauh dua kilometer di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pemandu lori berkenaan berjaya melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran sebaik sahaja memberhentikan lori itu.

"Pemeriksaan mendapati lori itu membawa muatan rokok kretek pelbagai jenama dengan dianggarkan bernilai RM138,816 dan cukai yang terlibat dianggarkan RM546,240," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Mohd Kassim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu dengan berpengetahuan mengangkut barang-barang belum lulus kastam.

Katanya syarikat atau individu yang dikenalpasti terbabit dengan penyeludupan rokok tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain