suria

Gerakan Mencari Gadis Hilang Di Sungai Rajang Diteruskan

SIBU: Pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta anggota keluarga meneruskan gerakan mencari gadis berusia 15 tahun, Hoo Yee Ping, yang dilaporkan hilang selepas sebuah bot panjang terbalik di Sungai Rajang kira-kira 6.30 pagi semalam.

Seorang petani, Sibat anak Unban yang sedang mudik dalam bot panjang miliknya di belakang mereka berjaya menyelamatkan ibu gadis itu, Ngui Mui Fung, 36, tetapi Ngui meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kapit.

Dua lagi anak Ngui dan seorang saudara lelaki berjaya berenang menyelamatkan diri selepas bot panjang mereka terbalik setelah ombak dari bot lain ketika berselisih, membadai bot yang mereka naiki.

Sementara itu, Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, kira-kira 14 orang lemas di Sungai Rajang dan anak sungainya, Sungai Igan, dekat sini sepanjang tahun ini.

Jumlah mangsa itu, bagaimanapun berkurangan tiga orang berbanding jumlah kehilangan nyawa tahun lepas, dan sebahagian besar daripada mereka lemas akibat kemalangan yang membabitkan bot atau kapal yang mereka naiki, kata Shafie di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, antara yang terkorban sejak dua tahun lepas adalah empat warga Indonesia, dua warga China dan seorang dari Myanmar manakala bakinya merupakan rakyat tempatan.

"Antara mereka yang meninggal dunia itu, kami tidak dapat mengenal pasti tiga mangsa pada 2008 dan empat orang tahun ini disebabkan ketiadaan dokumen peribadi pada mayat mangsa. Kesemuanya lelaki dan mereka dikebumikan di tanah perkuburan setempat," katanya.

Menurut beliau, antara 14 orang yang meninggal dunia tahun ini adalah empat beradik yang lemas selepas secara tidak sengaja terpijak pasir jerlus di Sungai Rajang di Leba'an, kira-kira 24 kilometer di sini pada 20 Disember lalu ketika mencari siput bersama-sama ibu mereka.

Sehubungan itu, Shafie menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak-anak sekiranya mereka bermain terlalu hampir dengan tebing sungai.

Shafie berkata lazimnya pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa antara tiga dan empat hari untuk mengesan mangsa disebabkan keadaan sungai yang berarus deras serta air berlumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain