suria

Buruh Dan Wanita Ditahan Berhubung Kematian Kanak-Kanak Perempuan

KUALA LUMPUR: Seorang buruh lelaki dan seorang wanita ditahan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemui terapung di kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney, Jalan Semarak,dua hari lepas.

Wanita itu ditahan semalam selepas dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengenai kehilangan anak perempuannya manakala lelaki itu pula ditahan petang ini hasil keterangan yang didapati daripada wanita berkenaan.

Kedua-dua mereka berusia 34 tahun dan polis tidak memberi butiran sama ada mereka mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kedua-dua mereka direman selama enam hari bermula hari ini.

Polis menahan wanita itu selepas mendapati timbul unsur mencurigakan ketika memberi keterangan.

"Susulan daripada keterangan yang diambil daripada wanita itu, polis berjaya mengesan seorang kenalan wanita berkenaan dan mengarahkan lelaki itu datang ke Balai Polis Sentul kira-kira pukul 4 petang tadi untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan ujian DNA ke atas mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika sedang membersihkan kolam tersebut kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata seorang wanita berusia 34 tahun telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

"Wanita ini membuat laporan bahawa anak perempuannya yang berumur 12 tahun hilang sejak dua hari lalu, iaitu pada hari yang sama mayat separuh bogel seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui terapung di kolam tadahan banjir.

"Kita sedang berusaha untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan saya berharap orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi dan andaian bahawa kes ini mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lapan tahun iaitu Nurin Jazlin Jazimin pada 16 Sept 16, 2007 dan kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun Sharlinie Mohd Nashar pada 9 Jan 2008," katanya. BERNAMA

Artikel Lain