suria

Program Kerja Dari Rumah Diteruskan Jika Berkesan

KUALA LUMPUR: Program bekerja dari rumah yang diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya akan diteruskan jika ia berkesan dalam tempoh percubaannya bermula Januari hingga Mac 2010.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, peserta yang terpilih akan dinilai hasil kerja mereka berdasarkan sasaran kerja yang ditetapkan mengikut kompleksiti sesuatu lukisan kerja itu.

"Jika program ini berjaya, kementerian akan menggalakkan agensi lain untuk mengunakan kaedah ini dan jika kerajaan tidak berhasrat meneruskannya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak akan pertimbangakan perkara ini.

"Mereka yang dipilih akan dipantau secara sistematik iaitu mereka hendaklah hadir sekali seminggu untuk tujuan perbincangan, pemberian arahan dan penilaian penyelia. Pengawasan kerja juga akan dimantapkan dengan pengawasan berterusan secara atas talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Menteri Bersama Peserta Program Perintis Bekerja Dari Rumah di sini hari ini.

Munurut Shaziman, seramai 39 peserta dipilih berdasarkan skop tugas mereka yang secara langsung melibatkan penggunaan komputer.

"Tidak semua cawangan dibenarkan menyertai program ini, hanya beberapa cawangan kerja yang bergantung kepada hasil kerja seperti Penolong Juruukur Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan," katanya.

Tambahnya, mereka yang dipilih terdiri daripada kakitangan yang berprestasi tinggi berdasarkan kemahiran dan Laporan Nilai Prestasi Tinggi, bebas daripada tindakan tata tertib, boleh bekerja dengan pengawasan minimum dan disokong oleh ketua jabatan.

Shaziman berkata, program yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan membantu kerajaan khususnya kementerian menangani masalah kesesakan di tempat kerja dan secara tidak langsung turut meringankan beban kepada pekerja terutama kos petrol, tol manakala penjawat awam wanita boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga.

"Ini adalah usaha kerajaan untuk memacu negara ke arah menjadi negara maju pada masa depan. Saya percaya program ini akan memberi banyak manfaat, bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada pekerja itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Shaziman memberitahu, elaun pengangkutan tidak dikurangkan walaupun para peserta tidak ke pejabat.

Sementara itu, salah seorang peserta, Norhayati Zakaria, 39, berpendapat, program itu membantunya merancang masa yang lebih baik antara kerja dan keluarga.

"Sebagai seorang isteri, bekerja dari rumah merupakan satu inisiatif yang baik kerana saya yakin dapat membahagikan masa antara kerja dan keluarga, saya tidak perlu ke pejabat secara tidak langsung mampu mengurangkan kos perbelanjaan seharian," katanya yang bertugas sebagai pelukis pelan.

Bagi Noorsam Samsuddin, 35, yang juga bertugas sebagai pelukis pelan, kaedah bekerja cara itu memberi keselesaan dan kualiti kerja yang lebih baik.

"Saya yakin mutu kerja saya di rumah akan lebih baik berbanding di pejabat kerana waktu kerja yang lebih anjal dan tidak lagi tertekan dengan keadaan kesesakan lalu lintas," ujarnya.

Manakala Mohd Najib Ahamad yang merupakan peserta termuda berpendapat, kerja di rumah memerlukan disiplin kerja yang tinggi kerana tiada pengawasan dari pihak atasan.

"Kerja dari rumah lebih mencabar kerana memerlukan komitmen dan disiplin diri yang tinggi berbanding kerja di bawah pengawasan ketua, kami perlu pandai menguruskan kerja-kerja dengan disiplin sendiri serta hasil yang memuaskan," ujarnya yang berusia 23 tahun.

Artikel Lain