suria

Mangsa Banjir Kelantan Meningkat Kepada 344 Orang

KOTA BAHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 344 orang berbanding 203 orang semalam berikutan hujan lebat di Hulu Kelantan.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata daripada 344 orang itu, 285 orang mangsa terlibat di jajahan Pasir Mas dan 59 orang di jajahan Kuala Krai.

"Antara kawasan terbabit di Pasir Mas termasuk, Kampung Kedai Lama, Kedap dan sekitar bandar Rantau Panjang manakala bagi jajahan Kuala Krai hanya kawasan Banggol Guchil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya iaitu 10.10 meter melebihi bahaya 9 meter dan air dilaporkan semakin naik berikutan hujan yang masih belum reda.

Katanya Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan KM11 Kampung Kubang Rambutan ditutup untuk kenderaan ringan.

Banjir kali ini merupakan yang keempat pada tahun ini sejak November. - BERNAMA

Artikel Lain