suria

Warga China Paling Ramai Sertai MM2H

KUALA LUMPUR: Warga China merupakan paling ramai menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H) antara 13,977 orang dari 107 negara yang tertarik kepada program itu sejak ia diperkenalkan tujuh tahun lalu.

"Bilangan peserta MM2H yang tertinggi ialah China diikuti Bangladesh, United Kingdom, Singapura, Taiwan, India, Iran dan Indonesia," kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ketika menjawab soalan Senator Sharifah Azizah Datuk Syed Zain di Dewan Negara hari ini.

Ng berkata, pelaksanaan program MM2H turut mendapat perhatian dunia dan ia dibuktikan dalam kajian "Annual Global Retirement Indeks 2009 " oleh majalah International Leaving yang menunjukkan Malaysia muncul sebagai negara pilihan pertama di rantau Asia dan negara ke-16 di dunia untuk dijadikan destinasi persaraan bagi warganegara asing.

Sejak 2004 hingga November tahun ini, sebanyak 811 buah rumah telah dibeli oleh peserta berkenaan dengan jumlah RM846.79 juta dan kebanyakan memilih Kuala Lumpur diikuti Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Perak sebagai tempat kediaman.

Menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Ng berkata, kerajaan hanya membenarkan warga asing yang menyertai program itu membeli harta yang berharga RM500,000.

"Mereka hanya boleh beli harta dan bangunan yang berharga RM500,000 dan ke atas, mereka tidak boleh beli harta kita yang berharga rendah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain